About Us

Kuih bakul atau ‘nian gao’ pastinya menjadi makanan wajib bagi kaum Cina setiap kali menjelang perayaan Tahun Baru Cina, namun tentu tidak ramai menyangka ada juga gadis Melayu yang mampu menghasilkannya.

Kuih bakul hasil air tangan Haziqah Nurul Huda Harun, 20, yang juga insan kurang upaya (OKU), lebih istimewa kerana beliau mempelajari pembuatan kuih itu dari sahabat Facebooknya yang berasal dari Beijing, China, dua tahun lalu.

Ternyata, kuih bakul yang diperbuat daripada adunan tepung pulut, air dan gula hasil resipi gadis berkerusi roda ini lebih enak, apabila menerima tempahan tinggi iaitu 4,000 biji sempena sambutan Tahun Baru Cina ini dan tahun lalu dia turut menerima tempahan 500 biji dari Singapura dan Qatar.

Kuih bakul Haziqah atau lebih mesra dengan panggilan Yaya, sentiasa ‘menjadi’ walaupun ada yang menyatakan penghasilan kuih bakul mempunyai banyak pantang larangnya.

Yaya yang tinggal di Kampung Bukit Kuang, Kemaman, Terengganu lumpuh selepas mengalami demam panas empat tahun lalu berkata, beliau mengambil masa tiga hari untuk menghasilkan kuih bakul bermula daripada proses mengadun, mengukus sehinggalah proses pembungkusan.

“Proses untuk sediakan adunan memakan masa empat jam iaitu Yaya buat adunan 70 kilogram tepung secara manual. Selepas adunan dibuat, Yaya akan mengisi adunan itu dalam acuan sebelum mengukusnya selama 12 hingga 15 jam bergantung kepada saiz kuih.

“Selepas siap proses mengukus, kuih berkenaan akan dibiar dan disejukkan selama sehari sebelum proses pembungkusan dijalankan,” kata Yaya ketika ditemui di kediamannya.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, perniagaannya berkembang dari hari ke hari sehingga beliau mendapat tempahan hampir 2,000 kuih bakul setiap bulan dan ia bertambah sekali ganda menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina.

“Selain kaum Tionghoa, Yaya juga dapat tempahan daripada syarikat minyak dan gas, pelanggan Melayu dan ada juga permintaan dari luar negara.

“Yaya hasilkan kuih bakul dengan dua perisa iaitu perisa asli dan perisa durian yang setiap satu dijual dengan harga RM8 hingga RM15 mengikut saiz,” katanya.

Yaya berkata, pada mulanya dia hanya menggunakan modal RM300 hasil daripada duit raya yang diperolehnya, kemudian meminjam duit daripada bapanya Harun Che Muda, 62, untuk membeli barang kelengkapan.

“Yaya pinjam duit abah untuk beli oven, pengukus berkapasiti tinggi dan alat-alat lain…tetapi apabila dah dapat untung, Yaya ganti balik duit abah dan sehingga sekarang Yaya habis dalam RM50,000 termasuk mengubah suai dapur untuk dijadikan tempat memproses kuih bakul, sesuai dengan keadaan fizikal Yaya”, katanya.

Berkongsi saat getirnya, Yaya berkata, suatu ketika dia pernah menganggap masa depannya hancur apabila tidak dapat menguruskan diri dan hanya mampu terlantar hampir dua tahun.

“Masa tu Yaya tingkatan empat, Yaya diserang demam panas kemudian kedua-dua mata tidak dapat melihat dan doktor juga beritahu gegendang telinga Yaya pecah. Yaya terpaksa berhenti sekolah awal dan ketika itu Yaya terlantar…hanya kepala sahaja yang dapat bergerak.

“Tapi, alhamdulillah berkat dorongan mama dan abah, Yaya bangkit semula dan mereka berdua yang banyak membantu Yaya untuk melakukan fisioterapi di rumah sehinggalah sekarang ini Yaya dapat bergerak menggunakan kerusi roda walaupun kaki sebelah kiri belum pulih dan tak dapat bergerak,” katanya.

Gadis cekal ini berkata, beliau berhasrat membuka bengkel dan menggaji pekerja untuk memenuhi permintaan pelanggannya.

“Sebenarnya kuih bakul ini Yaya hasilkan setiap bulan kerana ada permintaan daripada pelanggan. Selain kuih bakul, Yaya turut menjual kuih bulan yang menawarkan 29 perisa dan ia dijual dengan harga RM6 hingga RM14 mengikut saiz.

“Lepas ini, insya-Allah Yaya nak kembangkan lagi bisnes dan berhasrat untuk buka bengkel serta menggaji pekerja sebab nak buat seorang diri dengan kuantiti yang lebih banyak memang tak mampu,” katanya.

Beliau yang tidak pernah mendapat apa-apa bantuan daripada mana-mana pihak turut berharap agar kerajaan negeri membantunya untuk merealisasikan harapan membina sebuah bengkel bagi memudahkan urusannya.

“Ini sahaja yang Yaya mampu buat untuk masa sekarang…Yaya tak pernah mengikuti mana-mana kursus dan tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Yaya harap sangat ada pihak yang sudi membantu,” katanya. – BERNAMA

Copyright @ 2017 HALAL MOONCAKES | All Rights Reserved
Design by Baitul Kittah Technologies